Tuesday, 29 March 2011

Syahadah (Penyaksian)


Adakah kita faham islam sebagaimana abu jahal & abu sufyan faham?

Abu Jahal dan Abu Sufyan (ketika masih belum terima Islam) mungkin sekali memahami Islam lebih daripada kita ini yang telah bershahadah dan mengaku diri ini sebagai seorang Muslim.

Pelik bukan, bagaimana dua orang tokoh penentang Islam boleh sahaja memahami Islam ini dalam konteks untuk menerimanya. Sehinggakan mereka menjadi penentang yang amat tegar dan penzalim terhadap ummat Islam yang terawal.

Dengan ini saya bawakan dua buah kisah yang amat menarik, yang mungkin sekali membuktikan betapa mereka ini memahami Islam itu.

Kisah Abu Jahal

Abu Jahal nama sebenarnya adalah Amr Ibn Hisyam. Dia merupakan pemimpin arab jahiliyah yang terkenal. Digelar Abu Jahal kerna kejahilan nya terhadap Islam dan kerana kejahilannya itu dia menentang. Bukan lah maksudnya dia jahil itu dia tidak mengetahui tetapi dia mengetahui dakwah Rasul itu, memahaminya, tetapi menentang dengan cukup tegar sekali.

Dia juga digelar sebagai Abu Hakam; dimana gelaran ini membawa maksud seorang yang memiliki kebijaksanaan (father of wisdom).

Jadi bagaimana kita hendak katakan yang seorang yang digelar sebagai 'father of wisdom' ini tidak memahami dua kalimat arab yang mempunyai makna tiada ilah selain Allah dan Muhammad itu Rasullullah.

Abu Jahal merupakan seorang arab bahkan digelar dengan gelaran Abu Hakam, maknanya dia ini pastinya seorang yang arif dalam hal-hal bahasa sebagaimana seorang hakim memahami bahasa perundangan. Tetapi kenapa tetap juga ditolak Islam itu mentah-mentah bahkan menentang dengan penuh tegar dan dahsyat?

Diceritakan suatu ketika Ar-Rasul berdakwah kepada kaum kerabatnya dengan mengajak kepada tiada ilah selain Allah dan Muhammad itu Rasul Allah, maka berdiri dengan lantangnya Abu Jahal ini dengan berkata,
"Jika itu kau bawakan kepada kami wahai Muhammad, maka kau telah melancarkan perang terhadap seluruh jazirah Arab tidak kira dengan orang arab atau bukan arab!".

Lihat saudaraku, seiman dengan ku, kenapa kah kalimah yang kita lihat sebagai kalimah yang mudah ini boleh menyebabkan orang seperti Abu Jahal itu memerangi Muhammad SAW?

KENAPA KALIMAH YANG SERINGKALI KITA SEBUTKAN DAN LAFAZ SETIAP HARI SEPERTI TIADA APA-APA INI DI FAHAMI OLEH ABU JAHAL SEHINGGA DIA MENENTANG DENGAN PENUH TEGAR?

Maka tidak kah kita terfikir
APAKAH MAKSUD SHAHADAH ITU SATU PERSATU? Dari makna kesaksian kepada maksud ilah kepada mengenal siapa itu Allah sehingga kepada mengakui dan mengenal apa itu Rasul dan siapakah Muhammad itu sebagai Rasul, sebagaimana difahami oleh Abu Jahal? 

Kisah Abu Sufyan

Ibnu Abbas r.a. mengatakan bahwa Abu Sufyan bin Harb bercerita kepadanya, bahwa Heraclius (Herclius, Raja Rumawi Timur yang memerintah tahun 610 - 630 M) berkirim surat kepada Abu Sufyan menyuruh ia datang ke Syam bersama kafilah saudagar Quraisy (Quraisy, nama suku bangsawan tinggi di negara Mekkah).

Waktu itu Rasullah saw, sedang dalam perjanjian damai dengan Abu Sufyan dan dengan orang-orang kafir Quraisy (Perjanjian damai, yaitu Perjanjian Hudaibiyah yang dibuat tahun 6 H). Mereka datang menghadap Heraclius di Ilia -Ilia, yaitu Baitul Maqdis (Jerusaalem)) terus masuk ke dalam majlisnya, dihadapi oleh pembesar-pembesar Rumawi.

Kemudian Heraclius Memanggil orang-orang Quraisy itu beserta Jurubahasanya. Ceritanya barangkali panjang maka saya ringkaskan kepada satu perbualan sahaja.

Heraclius:
"Apakah yang diperintahkannya kepada kamu sekalian?"
Abu Sufyan:
"Dia (Muhammad) menyuruh kami menyembah Allah semata-mata, dan jangan mempersekutukan-Nya. Tinggalkan apa yang diajarkan nenek moyangmu! Disuruhnya kami menegakkan, berlaku jujur, sopan (teguh hati) dan mempererat persaudaraan!"

Lihat, Abu Sufyan memahami apa yang dibawa Ar Rasul, yakni shahadah itu. Tetapi kenapa ketika itu dia tidak mahu terima Islam? Apa yang ada sebenarnya dalam kalimat yang kita lihat sebagai mudah itu sehingga Abu Jahal memeranginya dan kaisar romawi begitu ingin tahu terhadapnya?

Apa yang ada pada kalimat itu sehingga kedua tokoh arab itu memahaminya dan menolaknya sedangkan ada yang menerimanya dengan hati terbuka seperti Abu Bakar As Siddiq dan ada yang menerimanya setelah memahaminya walaupun sebelumnya berniat membunuh Ar Rasul seperti Umar Ibn Khattab?

Kalimah shahadah itu merupakan perjanjian yang teguh antara seorang insan dengan penciptanya tanpa perantaraan manusia. Tanpa paderi yang menjadi perantara. Hubungan terus antara manusia dengan Allah. Dimana kita menerima Allah itu sebagai ilah dan Muhammad itu sebagai Rasul Nya?

Apakah ilah itu sehingga kita sebutkan ilah itu sebagai Tuhan? Ilah itu adalah:
"Yang disembah, Yang diharapkan, Yang ditakuti, Yang diikuti, Yang dicintai" dimana sifat itu difahami dengan sebetulnya.

 
Di mana kita letakkan syahadah kita?

Masalahnya kini kita telah mencipta banyak ilah lain selain Allah secara kita tidak sedar. Kecintaan pada harta dan pangkat, kekasih (yg belum halal dimiliki), dan banyak lagi melebihi kecintaan pada Allah dan rasul.

Benar, kita senang katakan yang kita mencintai Allah lebih dari segalanya.
Tetapi adakah iman itu hanya dibuktikan dengan kata-kata kosong sedangkan perlakuan kita tidak menunjukkan dan membuktikan apa yang kita ucapkan bahkan berlawanan dengan apa yang kita katakan cinta kita sepenuhnya kepada Allah???

Dimana sebenarnya kita letakkan Allah itu sebagai ilah dan lebih lagi dimana kita letakkan pengertian kita bershahadah???

Lihat saudara ku, betapa sehingga Abu Jahal itu menentang Islam kerana dia tahu bilamana dia menerima Allah itu sebagai satu-satunya ilah
dia perlu dan wajib menolak ilah lain yang telah dia ciptakan seperti kekuasan, kekayaan dan darjat. Bilamana dia memahami maksud ilah itu, dia menentang Islam bahkan melancarkan perang terhadap Islam.

Sesungguhnya Abu Jahal ini benar-benar memahami shahadah itu dan memahami maksud ilah yang sebenar. Adakah kita faham Islam itu sebagaimana Abu Jahal memahaminya, atau lebih teruk lagi??

Fikirkanlah..:
"dan diantara manusia ada yang menyembah selain Allah sebagai tandingan yang mereka cintai seperti mencintai Allah. Adapun orang-orang beriman amat besar cintanya kepada Allah." 2:165

Ceramah maulidur rasul

Assalamu'alaikum wrh wbt,

Kami ingin menjemput anda semua untuk ke program ceramah maulidur rasul yang akan diadakan pada hari khamis ini.

Maklumat lanjut adalah seperti berikut:

Tarikh : 31 Mac 2011.
Masa   : 6.30pm-10pm.
Tempat: Surau Hostel Hatamas.

Semua dijemput hadir. Sila bawa hati yg lapang dan jiwa yg dahaga dgn ilmu. semoga dipermudahkan, amin..

Bagi mereka yang berminat, sila daftarkan nama anda di kaunter pendaftaran kami yang terletak di pondok jaga belakang. Kaunter dibuka pada hari isnin-rabu jam 9pagi-4petang. Pengangkutan disediakan.

Monday, 28 March 2011

Rasulullah, kami merinduimu!


Sambutan memperingati Maulid (kelahiran) Rasulullah SAW bukanlah suatu perkara yang asing di dalam masyarakat kita. Tanggal 12 Rabiulawal setiap tahun inilah umat Islam akan memenuhi ruang masjid ataupun kawasan-kawasan terpilih untuk menyambut Maulidul Rasul dengan diadakan pelbagai acara seperti: Membaca al-Quran al-Karim dan berceramah mengenai sirah baginda SAW ataupun beselawat serta berzanji dan pelbagai acara lagi dan pada akhirnya kadang-kala diadakan sedikit jamuan. Mimbar-mimbar Jumaat juga tidak terlepas dari berkhutbah dengan penuh bersemangat untuk menyatakan cintanya umat ini terhadap baginda SAW.


Semperna perayaan Sambutan Maulidur Rasul S.A.W. pada tahun 1432 H / 2011 M ini, mari kita mengingati dan menghayati sirah baginda SAW dan seterusnya mengikuti serta mentaati segala ajaran yang telah dibawakan oleh Rasulullah SAW kepada kita. Tulisan ini sama sekali tidak akan membahaskan hukum menyambut Sambutan Maulidur Rasul SAW kerana persoalan ini terlalu kerap dibahaskan pelbagai pihak saban tahun dan ia adalah masalah khilafiyyah yang tidak akan selesai hingga Kiamat.

KEPUTERAAN RASULULLAH SAW

Adapun nasab keturunan baginda SAW adalah: Muhammad bin Abdullah bin Abdul Mutalib bin Hashim bin Abdul Manaf. Dikatakan bahawa nasib baginda SAW ini sampai kepada Nabi Ismail AS.
Nabi Muhammad SAW lahir pada tahun Gajah iaitu tahun tentera Abrahah melanggar masuk untuk menyerang dan menawan kota Makkah. Namun percubaan untuk menawan Kaabah ini menemuni jalan kegagalan apabila Allah Taala menghantar sekumpulan burung Ababil untuk memusnahkan angkatan tentera Abrahah itu dalam sekelip mata sahaja. Mengikut pendapat yang paling hampir bahawa baginda SAW telah dilahirkan pada 12 Rabiulawal tahun itu (terdapat juga beberapa pendapat lain lagi).

Baginda SAW adalah seorang yatim ketika dilahirkan. Bapanya wafat ketika usia baginda SAW dua bulan dalam kandungan ibunya. Setelah dilahirkan baginda SAW dipelihara oleh datuknya Abdul Mutalib kemudian disusukan oleh Halimah binti Abi Zuwaib dari puak Bani Saad Bakri.
Kampung Bani Saad pada ketika itu mengalami kemarau yang teruk. Setelah sampai Nabi Muhammad SAW untuk menyusu maka kampung tersebut berubah dari sebuah kampung yang tandus kepada sebuah kampung yang subur lagi menghijau. Di kampung ini jugalah baginda SAW telah dibedah perut oleh malaikat ketika usia baginda lima tahun. Ini adalah di antara keberkatan dan mukjizat baginda SAW yang telah dikurniakan oleh Allah Taala.

Ibu baginda SAW telah wafat ketika usia baginda enam tahun. Ini menyebabkan baginda SAW menjadi yatim piatu. Kemudian baginda dipelihara dan dididik pula oleh datuknya Abdul Mutalib sehingga usia baginda lapan tahun. Setelah datuknya meninggal dunia baginda dipelihara oleh bapa saudaranya Abu Talib.

RASULULLAH SAW UTUSAN ALLAH TAALA

Rasulullah SAW merupakan pesuruh Allah Taala yang diutuskan kepada umat Islam dan seluruhnya. Sebagai umat Islam yang beriman maka wajiblah kita mentaati segala perintah dan suruhan yang datangnya dari junjungan besar Rasulullah SAW tanpa membantahnya walaupun sedikit. Perintah mentaati rasul-Nya amat jelas dinyatakan di dalam nas-nas dari al-Quran al-Karim ataupun al-Hadis antaranya:
Firman Allah Taala bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada rasul (Rasulullah S.A.W) dan kepada orang-orang yang berkuasa dari kalangan kamu. Jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (kitab) Allah (al-Quran) dan sunnah rasul-Nya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya. (Surah an-Nisa: ayat 59).

Oleh itu, sebagai tanda kita mengimani dan mencintai Rasulullah SAW, beberapa perkara yang akan saya nyatakan di bawah ini boleh dijadikan pegangan kita:

BERADAB DENGAN RASULULLAH SAW

Firman Allah Taala bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu memandai-mandai (melakukan sesuatu perkara) sebelum (mendapat hukum atau kebenaran) Allah dan rasul-Nya dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. (Surah a-Hujuraat: ayat 1).

Firman Allah Taala bermaksud: Janganlah kamu jadikan seruan atau panggilan rasul (Rasulullah SAW) di antara kamu seperti seruan atau panggilan sesama kamu. (Surah an-Nur: ayat 63).

MENTAATI RASULULLAH SAW

Firman Allah Taala bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kepada rasul (Rasulullah SAW) dan jaganlah kamu batalkan amal-amal kamu. (Surah Muhammad: Ayat 33).

Firman Allah Taala bermaksud: Dan apa jua perintah yang dibawa oleh rasul (Rasulullah SAW) kepada kamu maka terimalah serta amalkan dan apa jua yang dilarang-Nya kamu melakukannya maka patuhilah larangan-Nya. (Surah al-Hasyr: ayat 7).

Firman Allah Taala bermaksud: Katakanlah (Wahai Muhammad): Taatilah kamu kepada Allah dan rasul-Nya. Oleh itu, jika kamu berpaling (menderhaka) maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang kafir. (Surah ali-Imran: ayat 32).

BERSELAWAT KE ATAS RASULULLAH SAW

Firman Allah Taala bermaksud: Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikkan) kepada Nabi (Muhammad S.A.W), wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya. (Surah al-Ahzab: ayat 56).

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud: Orang yang bakhil ialah mereka yang disebut namaku akan tetapi ia tidak berselawat kepadaku. (Riwayat al-Baihaqi).

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud: Sesiapa yang berselawat kepadaku sekali maka Allah akan selawat kepadanya sepuluh kali. (Riwayat Muslim).

MENGASIHI RASULULLAH SAW

Firman Allah Taala bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutlah daku nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihi. (Surah ali-Imran: ayat 31).

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud: Demi jiwaku berada di bawah kekuasaan Allah, seseorang kamu tidak beriman sehinggalah dia mencintaiku (Rasulullah S.A.W) lebih daripada kecintaannya kepada anaknya, ayahnya dan manusia keseluruhannya. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud: Tiga perkara sesiapa yang memiliki tiga perkara tersebut maka ia memiliki kemanisan iman: Mencintai Allah dan rasul-Nya lebih daripada cinta kepada perkara lain... (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

MENGIKUTI SUNNAH RASULULLAH SAW

Firman Allah Taala bermaksud: Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat serta ia pula menyebut dan mengingat Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang). (Surah al-Ahzab: ayat 21).

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud: Sesiapa yang menghidupkan sunnah daripada sunnahku yang telah ditinggalkan selepas aku maka sesungguhnya baginya pahala seumpama pahala orang yang melakukannya tanpa sedikitpun berkurangan sementara sesiapa yang mengadakan bidaah yang sesat yang tidak diredhai Allah dan rasul-Nya baginya dosa seumpama dosa-dosa yang dilakukan mereka di mana tidak sedikitpun berkurangan. (Riwayat al-Tarmizi dan Ibnu Majah).

PENUTUP

Sebagai umut Islam yang sayangkan baginda SAW hendaklah kita mengikuti segala suruhannya dan meninggalkan segala larangannya. Ini sahajalah bukti yang paling kukuh bahawa kita menyayangi dan mencintai Rasulullah SAW sepenuh jiwa. Akhir sekali, di kesempatan ini saya ingin mengucapkan selamat menyambut Sambutan Maulidur Rasul SAW 1432 H / 2011 M kepada seluruh umat Islam. Jadikanlah amalan mengikuti ajaran baginda SAW pada setiap ketika dan bukan sekali dalam setahun.

oleh: Ustaz Muhammad Rashidi bin Haji Wahab
Wallahualam.

Monday, 21 March 2011

Antara Cinta & Nafs


"Assalamu'alaikum. Enti, Syafiqah?" Satu persoalan muncul di skrin telefon bimbit milik Nur Izzatul Syafiqah, seorang mahasiswi Tahun 2 Sains Kimia.

"Eh. Siapa la yang hantar mesej nie?" Bisik hati Syafiqah tatkala menekan item 'Mesej' dan 'Inbox' yang muncul sebuah number yang tidak dikenali.

Lantas tangan Syafiqah terus membalas SMS tadi, "Wa'alaikumussalam. Ana Syafiqah. Boleh ana tahu siapakah yang bertanya ini?"

Lagu 'InsyaAllah' Maher Zain menjadi ringtone SMS telefon Syafiqah berbunyi selepas beberapa minit. Suatu senyuman terukir di wajah Syafiqah yang berwajah manis dan kuning langsat warna kulitnya.

"Ana, Mohd Azzam Aizat, pelajar Tahun 3 Aktuari (Matematik). Ana selalu melihat enti bersama sahabat-sahabat enti di KDK. Boleh ana tahu? Enti dah berpunya?"

"Ana kepunyaan Allah."

"Alhamdulillah, ana pun kepunyaan Allah. Ana suka pada enti. Maksud ana, ana suka melihat enti yang berperwatakan lembut dan sopan. Ana harap enti tidak menolak pelawaan ana untuk menjadi sahabat enti."

Berbunga-bunga hati Syafiqah tatkala dipuji oleh seorang lelaki, walau dia tidak mengenali siapakah sebenarnya yang bernama Mohd Azzam Aizat tersebut.

"Bersahabat atau berkawan je, ana tak kisah."

Kemudian, mesej berbalas mesej dari pagi hingga ke malam, berhentinya hanya sekadar waktu kuliah berlangsung.

Dari hari ke minggu dan dari minggu ke bulan.

Akhirnya masing-masing hanyut dan leka dalam dunia khayalan yang dicipta indah oleh Syaitan.
XXXXXXXXXXXXXXX



Setelah perhubungan 'Islamic Couple' berlangsung dengan jayanya tanpa pengetahuan sesiapa. Syafiqah mendengar nasihat dari sahabatnya kepada seorang sahabat lain yang baru sahaja 'menderita ditinggalkan si dia'.

"Ukhti, ana hanya manusia biasa yang jua tak pernah lari dari salah dan silap. Ana harap nasihat ana ini lebih kepada diri ana, kerana telinga ana yang lebih dekat dengan mulut ana yang bercakap."

"Enti dahulu pernah dijerumuskan oleh syaitan laknatullah ke kancah 'couple' ini. Mengapa enti biarkan diri enti tersadung dua kali pada tempat yang sama?"

"Ana tidak marah atau ingin mengutuk enti, tetapi ana hanya ingin enti muhasabah diri. Tidak ada setiap yang berlaku itu tanpa hadir hikmah disebaliknya. Lantas kita seharusnya mengambil ibrah dari apa yang pernah berlaku, bukan mengulangi yang apa pernah berlaku."

"Ana dah cuba tetapi yang terbaru ini (Aliff) merupakan lelaki soleh yang ana kenal. Ana tak nak kehilangan dia. Ana yakin dia mampu membimbing ana dan kami akan menjaga batas-batas pergaulan kami. Tetapi ana sedar, ana silap. Ana minta maaf." Jelas Khairun.

"Ukhti, jangan minta maaf pada ana, tetapi pada Dia. Ukhti, 'Barang siapa yang diingini oleh Allah akan kebaikan, maka diujinya dengan musibah.'[1]. Dari hadis ini sendiri sudah jelaskan, Allah hanya ingin menguji kita sikit je untuk lihat tahap kesungguhan kita untuk berubah. Maka suatu masa dulu bilamana enti berkata enti tidak mahu lagi terjebak dalam dunia couple nie lagi, Allah telah menguji enti dengan sedikit ujian dengan menghadirkan Aliff yang berperwatakan soleh."

"Ukhti, biarlah sejuta kata atau nasihat yang ana curahkan pada enti termasuklah berapa hadis dan berapa potong ayat al-Quran sekalipun, tiada yang akan mengubah enti kecuali enti sendiri yang membuka pintu hati enti untuk menerima hidayah Allah, jangan sampai hidayah yang diberi itu berpindah mengetuk pintu-pintu hati yang lain."

"Bawa hatimu kenali Islam, bawalah hatimu kenali Pencipta, bawalah hatimu kenali Kekasih Allah dan susurilah cinta itu yakni cinta Allah dan kekasihnya."

"Ukhti, 'Setiap insan pasti melakukan kesilapan dan sebaik-baik manusia yang melakukan kesilapan ialah mereka yang sentiasa bertaubat.'[2]. Betapa luas kasih-Nya ukhti, walau enti mengulangi kesilapan yang sama Dia tetap tidak menghukum enti seperti umat terdahulu, kan? Betapa kita terlalu sombong untuk tahu mensyukurinya dengan melakukan suruhan-Nya dan tinggalkan larangan-Nya."

"Ukhti tahu tak mengapa ada hadis yang mengatakan sesiapa yang mati sedang di dalam hatinya waktu itu menyukai seseorang tetapi ditahan tanpa dilafazkan merupakan mati syahid? Hal seperti seperti enti inilah yang akan terjadi sekiranya kata 'suka' dan 'cinta' dilafazkan. Tiada jaminan seorang ustaz atau imam sekalipun tidak akan kalah dengan nafsunya pada seorang wanita sekiranya nafsu mengawal akalnya. 'Kemudian menggantilah selepas mereka pengganti-pengganti yang mensia-siakan solat, dan mengikuti hawa nafsu (syahwat), maka mereka akan menemui kesalahan.'[3]"

"Ukhti, pintu rahmat Allah lebih luas dari pintu kebenciaan. Maka berubahlah enti sebelum terlambat. Ana akan sentiasa ada untuk enti. Ketahuilah ukhti, ana sayang enti kerana Allah selama-lamanya. InsyaAllah."

XXXXXXXXXXXXXXX

"Assalamu'alaikum, ingatkah enta pada kisah Yusuf a.s. dengan Zulaika? Yusuf menjadi raja Mesir sebab kesabarannya. Dan Zulaikha menjadi hina, fakir dan lemah kerana syahwatnya. Maka, ana tidak ingin menjadi  hina kerana mengikut syahwat dan ana ingin juga enta menjadi seperti Yusuf dalam menahan sabar. Ana harap enta faham, andai telah tertulis bahawa ana bersama enta, biarlah ana menjadi bidadari di syurga menanti enta di sana. Bukan di dunia yang hidup umpama syurga namun akhirat kelak kita menjerit dari dalam neraka. Mungkin cukup ini sebagai mesej terakhir dari ana kepada enta. Dan ana tidak mengharap enta membalasnya."

Mesej 'Delivered to Mohd Azzam Aizat'.



Sebahagian ulama mengatakan, "Barangsiapa telah dikuasai oleh nafsunya maka dia akan menjadi hamba syahwatnya. Ia merengkuk dalam penjara kegilaannya. Dan hatinya semakin lalai. Barangsiapa menyirami bumi tubuh ini syahwat, bererti dia telah menanam 'pohon' penyesalan dalam hatinya."

Sesungguhnya Allah menciptakan makhluk ada tiga bahagian. Dia menjadikan Malaikat hanya diberikan akal, tanpa diberi syahwat. Lalu Dia menjadikan haiwan yang dibekali syahwat tanpa diberi akal dan Allah menjadikan manusia dengan diberi akal dan syahwat. Jika seseorang telah mengalahkan akalnya, maka haiwan lebih baik daripada dia. Namun barangsiapa menggunakan akal dan menundukkan syahwatnya, tentulah dia lebih baik daripada Malaikat.

[secalit dari Mukasyafah Al-Qulub (Oleh Imam Al-Ghazali)]

XXXXXXXXXXXXXX

[1] Hadis shahih riwayat al-Bukhari, Malik dan Ahmad.
[2] Hadis riwayat at-Tirmizi dan Ibn Majah.
[3] Surah Maryam, surah ke 19, ayat ke 59.

Sunday, 20 March 2011

Kisah nafsu yang degil pada perintah ALLAH..

Dalam sebuah kitab karangan 'Ustman bin Hasan bin Ahmad Asy-Syaakir Alkhaubawiyi, seorang ulama yang hidup dalam abad ke XIII Hijrah, menerangkan bahwa sesungguhnya Allah S.W.T telah menciptakan akal, maka Allah S.W.T telah berfirman yang bermaksud : "Wahai akal mengadaplah engkau." Maka akal pun mengadap kehadapan Allah S.W.T., kemudian Allah S.W.T berfirman yang bermaksud : "Wahai akal berbaliklah engkau!", lalu akal pun berbalik.
Kemudian Allah S.W.T. berfirman lagi yang bermaksud : "Wahai akal! Siapakah aku?". Lalu akal pun berkata, "Engkau adalah Tuhan yang menciptakan aku dan aku adalah hamba-Mu yang daif dan lemah."
Lalu Allah S.W.T berfirman yang bermaksud : "Wahai akal tidak Ku-ciptakan makhluk yang lebih mulia daripada engkau."
Setelah itu Allah S.W.T menciptakan nafsu, dan berfirman kepadanya yang bermaksud : "Wahai nafsu, mengadaplah kamu!". Nafsu tidak menjawab sebaliknya mendiamkan diri. Kemudian Allah S.W.T berfirman lagi yang bermaksud : "Siapakah engkau dan siapakah Aku?". Lalu nafsu berkata, "Aku adalah aku, dan Engkau adalah Engkau."
Setelah itu Allah S.W.T menyiksanya dengan neraka jahim selama 100 tahun, dan kemudian mengeluarkannya. Kemudian Allah S.W.T berfirman yang bermaksud : "Siapakah engkau dan siapakah Aku?". Lalu nafsu berkata, "Aku adalah aku dan Engkau adalah Engkau."
Lalu Allah S.W.T menyiksa nafsu itu dalam neraka Juu' selama 100 tahun. Setelah dikeluarkan maka Allah S.W.T berfirman yang bermaksud : "Siapakah engkau dan siapakah Aku?". Akhirnya nafsu mengakui dengan berkata, " Aku adalah hamba-Mu dan Kamu adalah tuhanku."

Dalam kitab tersebut juga diterangkan bahwa dengan sebab itulah maka Allah S.W.T mewajibkan puasa.
Dalam kisah ini dapatlah kita mengetahui bahwa nafsu itu adalah sangat jahat oleh itu hendaklah kita mengawal nafsu itu, jangan biarkan nafsu itu mengawal kita, sebab kalau dia yang mengawal kita maka kita akan menjadi musnah.


by: Virusses Ax

Friday, 18 March 2011

Majlis ilmu & qiamullail-sambungan

Sabtu, 19 Mac 2011-Program Majlis Ilmu dan Qiamullail telah diadakan pada 10-11 Mac 2011 yang bertempat di auditorium, surau lelaki dan surau wanita, Kolej Universiti Sains dan Kesihatan Masterskill, Hulu Langat, Selangor.  Program ini telah dianjurkan oleh Persatuan Mahasiswa Islam Masterskill (PMIM) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar.

Program yang disertai oleh seramai 44 orang pelajar ini, bermula pada jam 7.20 malam iaitu dengan solat maghrib berjemaah dan diteruskan dengan tazkirah yang disampaikan oleh Presiden PMIM iaitu saudara Muhammad Alexander Zulkarnain b. Kama.
Program diteruskan lagi dengan solat isyak berjemaah dan makan malam.

Peserta muslimim dan ajk2 yang turut hadir.

Sebahagian dari peserta muslimah dan ajk2.
Program diteruskan dengan tayangan filem yang diadakan di auditorium. Sedikit tazkirah serta muhasabah diri disampaikan oleh Presiden PMIM Muhammad Alexander Zulkarnain b. Kama dan dibantu oleh Naib Presiden 1 iaitu saudara Shahidan Fadzil b. Abdullah Sani. Pada jam 12 malam, pelajar dibenarkan tidur.

Tepat jam 4.30 pagi, program diteruskan dengan Qiamullail secara berjemaah dan diikuti dengan solat subuh berjemaah. Pada jam 7 pagi, para pelajar bersurai ke hostel masing-masing.

Buletin oleh: sufi


Korban Kasih


ku korbankan kasihku,

sebagai seorang anak...
selagi upaya, cuba ku penuhi harapan dan impian ayah bonda.
kerna apa yang ku inginkan agar mereka bahagia...

ku korbankan kasihku
sebagai seorang isteri,
akan ku cuba taati insan bergelar suami,
selagi ia tak melanggar akidah dan syarak islami
selagi cinta masih dititipkan oleh Ilahi.
andai sekali dia memungkiri Mu Ya Rabbi,
aku sanggup tinggalkan dia kerna
cintaMu lebih ku damba dari segala yang ada di dunia ini.

ku korbankan kasihku,
dikala diriku sebagai seorang ibu.
membiar anakku syahid dijalanMu
kerna itu janjiku sejak dari dulu,
'aku inginkan mujahid dan mujahidah dalam rahimku'
kerna apa yang ku rindu adalah
syurga dan cinta dariMU

ku korbankan kasihku
sebagai seorang insani,
kucuba bertatih menjadi mujahidah sejati.
aku cuba berjuang sepenuh hati,
kerana tempat yang ku damba adalah sebagai seorang serikandi
yang menghiasi Taman Firdausi..

oh Tuhan,
layakkah diriku ini
duduk sebaris dengan bidadari
seperti Fatimah puteri Nabi.

mengalir air mataku
berjujuran jatuh tasbih rindu,
kerna aku merasakan bertapa jauhnya aku terpesong dari jalanMu
masih layakkah aku mendambakan cintaMu?
masih adakah ruang bagiku untuk menghuni syurgaMu?

Ya Allah,
andai kebaikan yang ku lakukan menjadikan aku angkuh dengan ganjarannya,
kau palitkan rasa berdosa seperti aku telah berbuat dosa yang nyata.
moga2 dengan rasa berdosa itu, aku lebih tawaddu' dalam beribadah padaMU

Ya Allah,
Kau terimalah taubatku,
Kau bukakanlah dakapanMu
Kau terimalah cintaku
Kau tetapkanlah hatiku agar terus istiqamah dengan jalanMu

kerna demi mendapatkan Cinta Mu..
ku KORBANKAN KASIHKU...

by : VirussesAx

Tuesday, 15 March 2011

oh zinnirah



Kesabaran seseorang muslim dalam mempertahankan aqidah Islam ketika menghadapi suasana penindasan yang hebat merupakan contoh kesabaran yang agung. Pegangan aqidah yang bertunjangkan tauhid kepada Allah menjadi harta yang tiada ternila bagi setiap muslim. Ia adalah cahaya yang menyinari hidup insan dan penyelamat dalam mengharungi sengsara kacau-bilau pada hari pembalasan.

Perkembangan dakwah Rasulullah S.A.W pada peringkat awal banyak dibantu oleh kesabaran kaum muslimin dan muslimat dalam memepertahankan pegangan aqidah mereka. Sikap inilah yang membuahkan hasil yang amat berharga dalam sejarah perkembangan Islam hinggalah ke hari ini. Islam masih kekal dan terus mekar dalam jiwa setiap umat Islam.

Kisah seorang muslimat sejati bernama Zinnirah adalah antara contoh terunggul pengorbanan seorang muslimah demi mempertahankan aqidah yang telah meresap ke dalam lubuk hatinya. Beliau dipilih oleh Allah untuk menerima ujian yang cukup getir. Beliau menerima hidayah Allah pada peringkat awal dakwah Rasulullah S.A.W iaitu semasa baginda S.A.W berdakwah secara sembunyi-sembunyi di kalangan rakan karib baginda.

Dalam sejarah Islam, golongan yang pertama memeluk Islam inilah yang banyak menerima ujian daripada Allah. Zinnirah adalah seorang wanita berketurunan bangsa Rom. Beliau telah ditawan dan dijual di sebuah pasar di Mekah. Akhirnya beliau telah dibeli oleh Umar Al-Khattab untuk dijadikan hamba.

Dari segi fizikalnya, Zinnirah kelihatan seorang yang lemah, tetapi dari segi spiritualnya beliau mempunyai jiwa yang cukup kental dan tabah. Rasulullah S.A.W memulakan dakwahnya secara sembunyi-sembunyi di kalangan orang-orang tertentu termasuk golongan bawahan. Antara yang menerima cahya keimanan ini ialah Zinnirah. Beliau telah menerima dengan sepenuh hati.

Pada peringkat awak keislamannya, Zinnirah melakukan suruhan-suruhan islam secara sembunyi-sembunyi, takut diketahui tuannya, Umar Al-Khattab. Beliau bersolat, berzikir, membaca Al-Quran, berdoa kepada Allah dengan penuh syahdu dan keinsafan. Semuanya dilakukan secara berhati-hati.

Penderitaan ke atas Zinnirah ini bermula setelah tuannya Umar Al-Khattab mengetahui keislamannya. Umar telah dapat menghidu perubahan yang berlaku ke atas diri hambanya itu. Setelah diselidiki, nyatalah bahawa hambanya meniggalkan agama nenek moyang dan menerima ajaran tauhid yang dibawa Nabi Muhammad S.A.W.

Umar Al-Khattab cukup terkenal dengan sikap memusuhi Rasulullah dan agama Islam sebelum keislamannya. Beliau selalu mencerca Muhammad S.A.w. Beliau mencabar sahabat-sahabat yang telah memeluk Islam dengan sikap berani dan tegasnya itu. Beliau sanggup menanam anaknya perempuannya hidup-hidup kerana malu dipandang masyarakat. Dengan sifat keberanian inilah yang telah mendorong Rasulullah S.A.W berdoa agar salah seorang daripada dua Umar di Mekah supaya memeluk Islam.

Zinnirah menjadi mangsa awal di atas sikap kebencian Umar Al-Khattab terhadap Islam dan kaum Muslimin. Apalagi, teruklah Umar menyeksa dan mendera Zinnirah dengan harapan Zinnirah akan kembali kepada agama asalnya dan meninggalkan Islam. Pelbagai seksaan dikenakan terhadap Zinnirah. Pukulan, hentakan, sepak terajang, dijemur di tengah-tengah panas terik adalh rutin kehidupan biasa Zinnirah. Semuanya dihadapi dengan tenang dan sabar, di samping hati dan jiwanya bergantung penuh kepada pertolongan Allah S.W.T.

Kemuncak penderaan terhadap Zinnirah ialah apabila matanya dicucuk dengan besi panas. Beliau kehilangan kedua-dua matanya dan terpaksa mengharungi hidup dengan penuh kegelapan. Matanya buta, tetapi hati dan jiwanya penuh dengan cahaya keimanan.


Iman menjadi penyuluh hidupnya dalam kesengsaraan azab dari tuannya. "Ini untukmu Ya Allah. Aku mengharungi kesengsaraan ini untuk mendapat kesenangan di akhirat kelak. Perjuangan ini sememangnya berat, selalu menderita dan sengsara kerana aku sedar untuk mendapat syurga. Aku terpaksa menagih ujian berat, sedangkan neraka itu dipagari oleh pelbagai kesenangan."

Inilah rintihan hati Zinnirah kepada Allah S.W.T ketika bermunajat kepada Allah di setiap malam sebagai penawar jiwa di atas segala kesusahan yang dia hadapi. Jiwanya semakin kukuh. Imannya semakin teguh.

Pengorbanan Zinnirah mendapat cercaan kaum musyrikin Mekah. Pelbagai cacian dilemparkan kepadanya. Mereka mengatakan Zinnirah buta kerana dilaknat oleh tuhan Latta dan Uzza. Mereka mencabarnya kerana Zinnirah mempertahankan diri dengan mengatakan dirinya buta bukan kerana tuhan mereka, sebaliknya ia adalah perbuatan Umar dan Allah mengizinkan ianya berlaku.

Walaupun diuji dengan pelbagai rupa, keyakinannya kepada Allah tidak berubah. Allah memberi karamah kepadanya. Matanya yang buta itu dapat melihat kembali dengan karamah Allah S.W.T. Dia dapat menikmati semula keindahan ciptaan Allah S.W.T. Hatinya dengan penuh kesyukuran kepada Allah dan imannya semakin tinggi. Dengan taufiq hidayah Allah, Umar akhirnya memeluk Islam jua.




Saturday, 12 March 2011

Salahuddin al-ayyubi


 Salahuddin dibesarkan sama seperti anak-anak orang Kurdis biasa. Pendidikannya juga seperti orang lain, belajar ilmu-ilmu sains di samping seni peperangan dan mempertahankan diri. Tiada seorangpun yang menyangka sebelum ia menguasai Mesir dan menentang tentera Salib bahawa anak Kurdis ini suatu hari nanti akan merampas kembali Palestin dan menjadi pembela akidah Islamiah yang hebat. Dan tiada siapa yang  menyangka pencapaiannya demikian hebat sehingga menjadi contoh dan perangsang memerangi kekufuran hingga ke hari ini.
Stanley Lane Poole (1914) seorang penulis Barat menyifatkan Salahuddin sebagai anak seorang governor yang memilliki kelebihan daripada orang lain tetapi tidak menunjukkan satupun tanda-tanda ia akan menjadi  orang hebat pada masa depan. Akan tetapi ia menunjukkan akhlak yang mulia.

Walau bagaimanapun Allah telah mentakdirkannya untuk menjadi pemimpin besar pada zamannya dan Allah telah menyediakan dan memudahkan jalan-jalannya untuk menjadi pemimpin agung itu. Ketika ia menjadi tentera  Al-Malik Nuruddin, Sultan Aleppo, ia diperintahkan untuk pergi ke Mesir. Pada masa itu Mesir diperintah oleh sebuah kerajaan Syi'ah yang tidak bernaung di bawah khalifah. Bahauddin bin Shaddad, penasihat utama Salahuddin telah menulis bahawa Salahuddin sangat berat dan memaksa diri untuk pergi ke Mesir bagaikan orang yang hendak di bawa ke tempat  pembunuhan (Bahauddin, 1234).

Tetapi itulah sebenarnya apa yang dimaksudkan dengan firman Allah, "Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu"  (Al-Baqarah:216) 

Pertukaran Hidup Salahuddin al Ayubi

Ketika Salahuddin menguasai Mesir, ia tiba-tiba berubah. Ia yakin bahawa Allah telah mempertanggung jawabkan kepadanya satu tugas yang amat berat yang tak mungkin dapat dilaksanakan jika ia tidak  bersungguh-sungguh. Bahauddin telah menuliskan dalam catatannya bahwa Salahuddin sebaik-baik sahaja ia menjadi pemerintah Mesir. Dunia dan kesenangannya  telah lenyap dari pandangan matanya. Dengan hati yang rendah dan syukur kepada Allah ia telah menolak godaan-godaan dunia dan segala kesenangannya (Bahauddin,1234).

Bahkan Stanley Lane Poole(1914) telah menuliskan bahwa Salahuddin mengubah cara hidupnya kepada yang lebih keras. Ia bertambah wara' dan menjalani hidup yang lebih berdisiplin dan sederhana. Ia mengenepikan  corak hidup senang dan memilih corak hidup "Spartan" yang menjadi contoh kepada tenteranya. Ia menumpukan seluruh tenaganya untuk satu tujuan yaitu untuk membina kekuasaan Islam yang cukup kuat untuk menghalau orang kafir dari tanah air Islam.

Salahuddin pernah berkata, "Ketika Allah menganugerah kan aku bumi Mesir, aku yakin Dia juga bermaksud Palestin untukku. Ini menyebabkan ia memenangkan perjuangan Islam. Sehubungan dengan ia telah menyerahkan dirinya untuk jalan jihad.
Stanley Lane Poole (1914) seorang penulis Barat menyifatkan Salahuddin sebagai anak seorang governor yang memilliki kelebihan daripada orang lain tetapi tidak menunjukkan satupun tanda-tanda ia akan menjadi  orang hebat pada masa depan. Akan tetapi ia menunjukkan akhlak yang mulia.
 
Semangat Jihadnya

Fikiran Salahuddin sentiasa tertumpu kepada jihad di jalan Allah. Bahauddin telah mencatatkan bahawa semangat Salahuddin yang berkobar-kobar untuk berjihad menentang tentera Salib telah menyebabkan jihad menjadi tajuk perbincangan yang paling digemarinya. Ia sentiasa meluangkan seluruh tenaganya untuk memperkuat pasukan tenteranya, mencari  mujahid-mujahid dan senjata untuk tujuan berjihad.

Jika ada sesiapa yang bercakap kepadanya berkenaan jihad ia akan memberikan sepenuh perhatian.  Sehubungan dengan ini ia lebih banyak di dalam khemah perang daripada duduk di istana bersama sanak keluarga. Siapa sahaja yang menggalakkannya berjihad akan mendapat kepercayaannya. Siapa sahaja yang memerhatikannya akan dapat melihat apabila ia  telah memulakan jihat melawan tentera salib ia akan menumpahkan seluruh perhatiannya kepada persiapan perang dan menaikkan semangat tenteranya.

Dalam medan peperangan ia bagaikan seorang ibu yang garang kehilangan anak tunggal akibat dibunuh oleh tangan jahat. Ia akan bergerak dari satu hujung medan peperangan ke hujung yang lain untuk mengingatkan  tenteranya supaya benar-benar berjihad di jalan Allah semata-mata. Ia juga akan pergi ke seluruh pelosok tanah air dengan mata yang berlinang mengajak manusia supaya bangkit membela Islam.

Ketika ia mengepung Acre ia hanya minum, itupun selepas dipaksa oleh doktor peribadinya tanpa makan. Doktor itu berkata bahawa Salahuddin hanya makan beberapa suap makanan semenjak hari Jumaat hingga senin kerena ia tidak mahu perhatiannya kepada peperangan terganggu. (Bahauddin, 1234)
Peperangan Hittin

Satu siri peperangan yang sengit telah berlaku antara tentera Salahuddin dengan tentera Salib di kawasan Tiberias di kaki bukit Hittin. Akhirnya pada 24 Rabiul-Akhir, 583 H, tentera Salib telah kalah. Dalam peperangan ini Raja Kristian yang memerintah Palestin telah dapat di tawan beserta adiknya Reginald dari Chatillon. Pembesardan beberapa orang ternama yang lain. Ramai juga tentera-tentera Salib berpangkat tinggi telah tertawan. Stanley Lane-Poole menceritakan bahwa dapat dilihat seorang tentera Islam telah membawa 30 orang tentera Kristian yang ditawannya sendiri diikat dengan tali khemah.

Mayat-mayat tentera Kristian bertimbun-timbun seperti batu di atas batu di antara salib-salib yang patah, potongan tangan dan kaki dan kepala-kepala manusia berguling seperti buah tembikai. Dianggarkan 30,000 tentera Kristian telah mati dalam peperangan ini. Setahun selepas peperangan, timbunan tulang dapat dilihat memutih dari jauh.

Kecintaan Salahuddin kepada Islam

Peperangan Hittin telah menyerlahkan kecintaan Salahuddin kepada Islam. Stanley Lane-Poole menulis bahawa Salahuddin berkhemah di medan peperangan semasa peperanggan Hittin. Pada satu ketika setelah  khemahnya didirikan diperintahkannya tawanan perang dibawa ke hadapannya. Maka dibawalah Raja Palestin dan Reginald dari Chatillon masuk ke khemahnya.  Dipersilakan sang Raja duduk di dekatnya.

Kemudian ia bangun pergi ke hadapan Reginald lalu berkata, "Dua kali aku telah bersumpah untuk membunuh nya. Pertama ketika ia bersumpah akan melanggar dua kota suci dan kedua ketika ia menyerang jamaah haji. Ketahuilah aku akan menuntut bela Muhammad saw atasnya". Lalu ia menghunuskan pedangnya dan memenggal kepala Reginald. Mayatnya kemudian dibawa keluar oleh pengawal dari khemah. 
Raja Palestin apabila melihat adiknya dipancung, ia mengeletar kerana menyangka gilirannya akan tiba. Tetapi Salahuddin menjamin tidak akan mengapa-apakannya sambil berkata, "Bukanlah kelaziman seorang raja membunuh raja yang lain, tetapi orang itu telah melanggar segala batas-batas, jadi terjadilah apa yang telah terjadi".

Tindakan Salahuddin adalah disebabkan kebiadaban Reginald kepada Islam dan Nabi Muhammad saw. Bahauddin bin Shaddad, penasihat kepercayaan  Salahuddin mencatatkan bila jamaah haji dari Palestin diserang dicederakan tanpa belas kasihan oleh Reginald, di antara tawanannya merayu supaya mereka dikasihani. Tetapi Reginald dengan angkuhnya mengatakan, "Mintalah kepada Nabi kamu, Muhammad, untuk menyelematkan kamu". Ketika ia mendengar berita ini ia telah berjanji akan membunuh Reginald dengan  tangannya sendiri apabila ia dapat menangkapnya.

Menawan Baitul Muqaddis

Kemenangan peperangan Hittin telah membuka jalan mudah kepada Salahuddin untuk menawan Baitul Muqaddis. Bahauddin telah mencatatkan bahawa Salahuddin sangat-sangat berhajat untuk menawan baitul Muqaddis hinggakan bukitpun akan mengecut dari bebanan yang dibawa di dalam hatinya. Pada hari jumaat, 27 Rajab, 583H, iaitu pada hari Isra' Mi'raj,  Salahuddin telah memasuki banda suci tempat Rasulullah saw. naik ke langit.

Dalam catatan Bahauddin ia menyatakan inilah kemengan atas kemengang. Ramai orang yang terdiri dari ulama, pembesar-pembesar, peniaga dan orang-orang biasa datang merayakan gembira kemenangan ini. Kemudiannya  ramai lagi orang datang dari pantai dan hampir semua ulama-ulama dari Mesir dan Syria datang untuk mengucapkan tahniah kepada Salahuddin. Boleh  dikatakan hampir semua pembesar-pembesar datang. Laungan "Allahhu Akbar" dan "Tiada tuhan melainkan Allah" telah memenuhi langit.

Selepas 90 tahun kini sembahyang Jumaat telah diadakan semula di Baitul Muqaddid. Salib yang terpampang di 'Dome of Rock' telah diturunkan. Betapa  hebatnya peristiwa ini tidak dapat digambarkan. Hanya Allah sahaja yang tahu betapa hebatnya hari itu.

Salahuddin yang Penyayang

Sifat penyayang dan belas kasihan Salahuddin semasa peperangan ini sangat jauh berbeda daripada kekejaman musuh Kristiannya. Ahli sejarah Kristian pun mengakui hal ini. Lane-Poole mengesahkan bahwa kebaikan  hati Salahuddin telah mencegahnya daripada membalas dendam. Ia telah menuliskan yang Salahuddin telah menunjukkan ketiggian akhlaknya ketika orang-orang Kristian menyerah kalah. Tenteranya sangat bertanggung jawab, menjaga peraturan di setiap jalan, mencegah segala bentuk kekerasan hinggakan tiada kedengaran orang-orang Kristian diperlakukan tidak baik.

Semua jalan keluar-masuk ke Baitul Muqaddis di tangannya dan seorang yang amanah telah dilantik di pintu Nabi Daud untuk menerima wang tebusan daripada orang-orang Kristian yang ditawan. Lane-Poole juga telah menuliskan bahawa Salahuddin telah mengatakan kepada pegawainya, "Adikku telah membuat infak, Padri besar pun telah benderma. Sekarang giliranku pula". Lalu ia memerintahkan pegawainya mewartakan di jalan-jalan Jerusalem bahawa sesiapa yang tidak mampu  membayar tebusan boleh dibebaskan. Maka berbondong-bondonglah orang keluar dari pintu St. Lazarus dari pagi hingga ke malam. Ini merupakan sedekah Salahuddin kepada orang miskin tanpa menghitung bilangan mereka.

Selanjutnya Lane-Poole menuliskan bagaimana pula tindak-tanduk tentera Kristian ketika menawan Baitul Muqaddis kali pertama pada tahun 1099. Telah tercatat dalam sejarah bahawa ketika Godfrey dan Tancred  menunggang kuda di jalan-jalan Jerusalem jalan-jalan itu 'tersumbat' dengan mayat-mayat, orang-orang Islam yang tidak bersenjata disiksa, dibakar dan dipanah dari jarak dekat di atas bumbung dan menara rumah-rumah ibadah. Darah yang membasahi bumi yang mengalir dari pembunuhan orang-orang Islam secara beramai-ramai telah mencermarkan kesucian gereja di mana  sebelumnya kasih sayang sentiasa diajarkan. Maka sangat bernasip baik orang-orang Kristian apabila mereka dilayan dengan baik oleh Salahuddin.

Lane-Poole juga menuliskan, jika hanya penaklukan Jerusalem sahaja yang diketahui mengenai Salahuddin, maka ia sudah cukup membuktikan dialah seorang penakluk yang paling penyantun dan baik hati di zamannya bahkan mungkin di sepanjang zaman.

Perang salib ketiga

Perang Salib pertama ialah kejatuhan Palestin kepada orang-orang Kristian pada tahun 1099 (490H) manakala yang kedua telah dimenangi oleh Salahuddin dalam peperangan Hittin pada tahun 583H (1187M) di mana  beberapa hari kemudian ia telah menawan Baitul Muqaddis tanpa perlawanan. Kekalahan tentera Kristian ini telah menggegarkan seluruh dunia Kristian. Maka bantuan dari Eropah telah dicurahkan ke bumi Palestin.
Hampir semua raja dan panglima perang dari dunia Kristian seperti Fredrick Barbossa raja Jerman, Richard The Lion raja England, Philips Augustus raja  Perancis, Leopold dari Austria, Duke of Burgundy dan Count of Flanders telah bersekutu menyerang Salahuddin yang hanya dibantu oleh beberapa pembesar nya dan saudara maranya serta tentaranya untuk mempertahankan kehormatan Islam. Berkat pertolongan Allah mereka tidak dapat dikalahkan oleh tentera bersekutu yang besar itu.

Peperangan ini berlanjutan selama 5 tahun hingga menyebabkan kedua belah pihak menjadi lesu dan jemu. Akhirnya kedua belah pihak bersetuju untuk memuat perjanjian di Ramla pada tahun 588H. Perjanjian ini  mengakui Salahuddin adalah pengusa Palestin seluruhnya kecuali bandar Acra diletakkan di bawah pemerintahan Kristian. Maka berakhirlah peperangan  Salib ketiga.

Lane-Poole telah mencatatkan perjanjian ini sebagai berakhirnya Perang Suci yang telah berlajutan selama 5 tahun. Sebelum kemenangan besar Hittin pada bulan Julai, 1187 M, tiada satu inci pun tanah Palestin di  dalam tangan orang-orang Islam. Selepas Perjanjian Ramla pada bulan September, 1192 M, keseluruhanya menjadi milik mereka kecuali satu jalur kecil dari Tyre ke Jaffa. Salahuddin tidak ada rasa malu apapun dengan perjanjian ini walaupun sebahagian kecil tanah Palestin masih di tangan orang-orang Kristian.

Atas seruan Pope, seluruh dunia Kristian telah  mengangkat senjata. Raja England, Perancis, Sicily dan Austria serta Duke of Burgundy, Count of Flanders dan beratus-ratus lagi pembesar-pembesar telah bersekutu membantu Raja dan Putra Mahkota Palestin untuk mengembalikan kerajaan Jerusalem kepada pemerintahan Kristian. Walau bagaimanapun ada raja yang mati dan ada yang balik dan sebahagian  pembesar-pembesar Kristian telah terkubur di Tanah Suci itu, tetapi Tanah Suci itu masih di dalam tangan Salahuddin.

Selanjutnya Lane-Poole mencatatkan, seluruh kekuatan dunia Kritian yang telah ditumpukan dalam peperangan Salib ketiga tidak mengoyangkan kekuatan Salahuddin. Tenteranya mungkin telah jemu dengan peperangan  yang menyusahkan itu tetapi mereka tidak pernah undur apabila diseru untuk menjualkan jiwa raga mereka di jalan Tuhan. Tenteranya yang berada jauh di lembah Tigirs di Iraq mengeluh dengan tugas yang tidak  henti-henti, tetapi ketaatan meraka yang tidak pernah berbelah bagi.

Bahkan dalam peperangan Arsuf, tenteranya dari Mosil (sebuah tempat di Iraq) telah menunjukkan ketangkasan yang hebat. Dalam peperangan ini, Salahuddin memang boleh memberikan kepercayaan kepada tentra-tenteranya dari Mesir, Mesopotamia, Syria, Kurds, Turkmans, tanah Arab dan bahkan orang-orang Islam dari mana-mana sahaja. Walaupun mereka berlainan bangsa dan  kaum tetapi Salahuddin telah dapat menyatukan mereka di atas jalan Tuhan dari pada mula peperangan pada tahun 1187 hinggalah berakhirnya pada tahun 1192.

Lane-Poole juga menuliskan dalam peperangan ini Salahuddin sentiasa syura. Ia mempunyai majlis syura (musyawarah) yang membuat keputusan-keputusan  ketenteraan. Kadang-kadang majlis ini membatalkan keputusan Salahuddin sendiri. Dalam majlis ini tiada siapa yang mempunyai suara lebih berat tiada siapa yang lebih mempengaruhi fikiran Salahuddin. Semuanya sama sahaja. Dalam majlis itu ada adiknya, anak-anaknya, anak saudaranya, sahabat-sahabat lamanya, pembesar-pembesar tentera, kadi, bendahari dan  setiausaha. Semuanya mempunyai sumbangan yang sama banyak dalam membuat keputusan. Pendeknya semuanya menyumbang dalam kepakaran masing-masing. Walau apa pun perbincangan dan perdebatan dalam majlis itu, mereka memberikan ketaatan mereka kepada Salahuddin.

Kematian Salahuddin

Pada hari Rabu, 27 Safar, 589H, pulanglah Salahuddin ke rahmatullah selepas berhempas pulas mengembalikan tanah air Islam pada usia 57 tahun. Bahauddin bin Shaddad, penasihat utama Salahuddin telah menulis  mengenai hari-hari terakhir Salahuddin. Pada malam 27 Safar, 12 hari selepas ia jatuh sakit, ia telah menjadi sangat lemah. Syeikh Abu Ja'afar seorang yang wara' telah diminta menemani Salahuddin di Istana supaya jika ia nazak, bacaan Qur'an dan syahadah boleh diperdengarkan kepadanya.

Memang pada malam itu telah nampak tanda-tanda berakhirnya hayat Salahuddin. Syeikh Abu Jaafar telah duduk di tepi katilnya semenjak 3 hari yang lepas membacakan Qur'an. Dalam masa ini Salahuddin selalu pingsan dan sedar sebentar. Apabila Syeikh Au Jaafar membacakan ayat, "Dialah Allah, tiada tuhan melainkan Dia, Yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata" (Al-Hasyr: 22), Salahuddin membuka matanya sambil senyum, mukanya berseri dan denga nada yang gembira ia berkata, "Memang benar". Selepas ia mengucapkan kata-kata itu rohnya pun kembali ke rahmatullah. Masa  ini ialah sebelum subuh, 27 Safar.

Seterusnya Bahauddin menceritakan Salahuddin tidak meninggalkan harta kecuali satu dinar dan 47 dirham ketika ia wafat. Tiada rumah-rumah, barang-barang, tanah, kebun dan harta-harta lain yang ditinggalkan nya. Bahkan harta yang ditinggalkannya tidak cukup untuk ongkos pengkebumiannya. Keluarganya terpaksa meminjam wang untuk menanggung ongkos pengkebumian ini. Bahkan kain kafan pun diberikan oleh seorang menterinya.

Salahuddin yang Wara'

 

Bahauddin bin Shaddad, penasihat utama Salahuddin telah mencatatkan berkenaan kewarakan Salahuddin. Satu hari ia berkata bahawa ia telah lama tidak pergi sembahyang berjemaah. Ia memang suka sembahyang  berjemaah, bahkan ketika sakitnya ia akan memaksa dirinya berdiri di belakang imam. Disebabkan sembahyang adalah ibadah utama yang diasaskan oleh  Rasulullah saw, ia sentiasa mengerjakan sembahyang sunnat malam. Jika disebabkan hal tertentu ia tidak dapat sembahyang mala, ia akan menunaikannya ketika hampir subuh. Bahauddin melihatnya sentiasa sembahyang di belakang imam ketika sakitnya, kecuali tiga terakhir di mana ia telah tersangat lemah dan selalu pingsan.

Tetapi ia tidak pernah tinggal sembahyang fardhu. Ia tidak pernah membayar zakat kerana ia tidak mempunyai  harta yang cukup nisab. Ia sangat murah hati dan akan menyedekahkah apa yang ada padanya kepada fakir miskin dan kepada yang memerlukan hinggakan ketika wafatnya ia hanya memiliki 47 dirham wang perak dan satu dinar wang emas. Ia tidak meninggalkan harta.

Bahauddin juga mencatatkan bahawa Salahuddin tidak pernah meninggalkan puasa Ramadhan kecuali hanya sekali apabila dinasihatkan oleh Kadi Fadhil. Ketika sakitnya pun ia berpuasa sehinggalah doktor menasihat kannya dengan keras supaya berbuka. Lalu ia berbuka dengan hati yang berat sambil berkata, "Aku tak tahu bila ajal akan menemuiku". Maka segera ia membayar fidyah.

Dalam catatan Bahauddin juga menunjukkan Salahuddin teringin sangat menunaikan haji ke Mekah tetapi ia tidak pernah berkesempatan. Pada tahun kewatannya, keinginannya menunaikan haji telah menjadi-jadi  tetapi ditakdirkan. Ia sangat gemar mendengar bacaan Qur'an. Dalam medan peperangan ia acap kali duduk mendegar bacaan Qur'an para pengawal yang dilawatnya  sehingga 3 atau 4 juzu' semalam. Ia mendengar dengan sepenuh hati dan perhatian sehingga air matanya membasahi dagunya.

Ia juga gemar mendengar bacaan hadis Rasulullah saw. Ia akan memerintahkan orang-orang yang bersamanya duduk apabila hadis dibacakan. Apabila ulama hadis datang ke bandar, ia akan pergi mendengar kuliahnya. Kadang kadang ia sendiri membacakan hadis dengan mata yang berlinang. Dalam peperangan kadang-kadang ia berhenti di antara musuh-musuh yang datang untuk mendengarkan hadis-hadis dibacakan kepadanya.

Salahuddin sangat yakin dan percaya kepada pertolongan Allah. Ia biasa meletakkan segala harapan nya kepada Allah terutama ketika dalam kesusahan. Pada satu ketika ia berada di Jerusalem yang pada masa itu seolah-olah tidak dapat bertahan lagi daripada kepungan tentera bersekutu Kristian. Walaupun keadaan sangat terdesak ia enggan untuk meninggalkan kota suci itu. Malam itu adalah malam Jumaat musim sejuk. Bahaauddin mencatatkan, "Hanya aku dan Salahuddin sahaja pada masa itu. Ia menghabis kan masa malam itu dengan bersembahyang dan munajat.

Pada tengah malam saya minta supaya ia berehat tetapi jawanya, "Ku fikir kau mengantuk. Pergilah tidur sejenak". Bila hampis subuh akupun bangun dan pergi  mendapatkannya. Aku dapati ia sedang membasuh tangannya. "Aku tidak tidur semalam" katanya. Selepas sembahyang subuh aku berkata kepadanya, "Kau kena munajat kepada Allah memohon pertolongan-Nya". Lalu ia bertanya, "Apa yang perlu ku lakukan?"

Aku menjawab, Hari ini hari Jumaat. Engkau mandilah sebelum pergi ke masjid Aqsa. Keluarkanlah infaq dengan senyap-senyap. Apabila kau tiba di masjid, sembahyanglah dua rakaat selepas azan di tempat  Rasulullah saw pernah sembahyang sebelum mi'raj dahulu. Aku pernah membaca hadis doa yang dibuat di tempat itu adalah mustajab. Oleh itu kau bermunajad lah kepada Allah dengan ucapan "Ya Tuhanku, aku telah kehabisan segala bekalanku. Kini aku mohon pertolongan-Mu. Aku menyerahkan diriku kepada-Mu. Aku yakin hanya Engkau sahaja yang boleh menolongku dalam  keadaan yang genting ini"

Aku mengatakan kepadanya, "Aku sangat berharap Allah akan mengkabulkan doamu". Lalu Salahuddin melakukan apa yang ku usulkan. Aku berada di sebelahnya ketika dahinya mencecah bumi sambil menangis hingga air  matanya mambasahi janggutnya dan menitik ke tempat sembahyang. Aku tidak tahu apa yang didoakannya tetapi aku melihat tanda-tanda doanya dikabulkan sebelum hari itu berakhir. Perbalahan berlaku di antara musuh-musuh yang menatijahkan berita baik bagi kami beberapa hari kemudian. Akhirnya mereka membuka khemah-khemah mereka dan berangkat ke Ramla pada hari  Isnin pagi"

Friday, 11 March 2011

Sultan Muhammad Al-Fateh



Nukilan: Nur Khadijah
Sumber: www.iluvislam.com
Editor: sufi



Sabda Rasulullah SAW ketika menggali parit dalam peperangan Khandaq,  
"...Konstantinopel (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera..." (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Umat Islam berlumba-lumba membebaskan Konstantinopel untuk mendapatkan penghormatan yang dijanjikan oleh Allah SWT dalam hadis tersebut. Walau bagaimanapun, kesemua kempen yang dilancarkan menemui kegagalan. Di antaranya, lima kempen di zaman Kerajaan Umaiyyah, satu kempen di zaman Kerajaan Abbasiyyah dan dua kempen di zaman Kerajaan Uthmaniyyah.
Dalam salah sebuah kempen semasa zaman Kerajaan Umaiyyah, seorang sahabat Nabi SAW iaitu Abu Ayyub Al-Ansary RA telah syahid dan dimakamkan di bawah dinding kubu Kota Constantinople di atas wasiatnya sendiri. Apabila ditanya kenapa beliau ingin dimakamkan di situ maka beliau menjawab, "Aku ingin mendengar derapan tapak kaki kuda sebaik-baik raja yang akan mengetuai sebaik-baik tentera semasa mereka membebaskan Konstantinopel". Begitulah teguhnya iman seorang sahabat besar Nabi SAW.

Hadis Nabi SAW ini direalisasikan hampir 800 tahun kemudiannya oleh Sultan Muhammad Al-Fateh, khalifah ke-7 Kerajaan Uthmaniyyah dengan 150,000 orang tenteranya.
Siapakah Sultan Muhammad Al-Fateh? Apakah kehebatan baginda dan tentera-tenteranya sehingga disebut "sebaik-baik raja" dan "sebaik-baik tentera" dalam hadis tersebut?

Biodata Ringkas

Baginda Sultan Muhammad Al-Fateh dilahirkan pada 29 Mac 1432 Masihi di Adrianapolis
(sempadan Turki – Bulgaria). Walau bagaimanapun, sejarah hidup baginda sebenarnya telah bermula hampir 800 tahun sebelum kelahirannya kerana telah disebut sebagai "sebaik-baik raja" di dalam Hadis tadi. Baginda juga dikenali dengan gelaran Muhammad Al-Fateh kerana kejayaannya membebaskan Konstantinopel.

Baginda menaiki takhta ketika berusia  19 tahun dan memerintah selama 30 tahun (1451 – 1481). Baginda merupakan seorang negarawan ulung dan panglima tentera agung yang memimpin sendiri 25 kempen ketenteraan. Baginda mangkat pada 3 Mei 1481 akibat sakit gout. Ada ahli sejarah berpendapat baginda mangkat diracun.

Pendidikan

Baginda menerima pendidikan yang menyeluruh dan bersepadu. Dalam bidang keagamaan, gurunya adalah Syeikh Shamsuddin Al-Wali dikatakan daripada keturunan Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq RA. Dalam ilmu peperangan pula, baginda diajar tentang taktik peperangan,  memanah dan menunggang kuda oleh panglima-panglima tentera.

Dalam bidang akademik pula, baginda adalah seorang cendekiawan ulung di zamannya yang fasih bertutur dalam tujuh bahasa iaitu Bahasa Arab, Latin, Greek, Serbia, Turki, Parsi dan Hebrew. Dalam bidang ilmu pemerintahan pula, ayahandanya Sultan Murad II, dengan tujuan mendidik, semasa pergi bersuluk ke Pulau Magnesia, telah melantik baginda yang baru berusia 12 tahun memangku jawatan Khalifah. Dalam usia semuda ini baginda telah matang menangani tipu helah musuh.

Keperibadian

Baginda sentiasa bersifat tawaduk. Semasa membina Benteng Rumeli Hissari, baginda membuka baju dan serbannya, mengangkat batu dan pasir hingga ulama-ulama dan menteri-menteri terpaksa ikut sama bekerja. Baginda seorang yang sentiasa tenang, pendiam, berani, sabar, tegas dan kuat menyimpan rahsia pemerintahan. Baginda sangat cintakan ulamadan selalu berbincang dengan mereka mengenai permasalahan negara.

Persiapan Awal Membebaskan Konstantinopel

Selama 2 tahun selepas menaiki takhta, Baginda mengkaji pelan Kota Kostantinopel setiap malam bagi mengenal pasti titik kelemahannya. Baginda juga mengkaji sebab-sebab kegagalan kempen-kempen terdahulu serta berbincang dengan panglima-panglima perangnya tentang tentang strategi yang sesuai untuk digunakan.

Baginda mengarahkan dibina peralatan perang termoden seperti meriam besar yang boleh menembak bom seberat 300 kg sejauh 1 batu. Benteng Rumeli Hissari dibina di tebing sebelah Eropah, lebih kurang 5 batu dari Kota Constantinople di mana Selat Bosphorus adalah yang paling sempit. Ia dibina bertentangan dengan Benteng Anadolu Hisar di tebing sebelah Asia yang telah dibina oleh Sultan Bayazid Yildirim dahulu. Benteng ini mengawal rapi kapal-kapal yang melintasi Selat Bosphorus. Perjanjian damai dibuat dengan pihak Wallachia, Serbia dan Hungary untuk memencilkan Konstantinopel apabila diserang nanti.

Baginda membawa bersama para ulama dan pakar motivasi ke medan perang bagi membakar semangat jihad tenteranya. Sebaik sahaja menghampiri dinding kubu Kota Konstantinopel, baginda mengarahkan dilaungkan azan dan solat berjemaah. Tentera Byzantine gentar melihat 150,000 tentera Islam bersolat di belakang pemimpin mereka dengan laungan suara takbir memecah kesunyian alam.

Melancarkan Seragan ke atas Konstantinopel

Setelah segala persiapan lengkap diatur, baginda menghantar utusan kepada Raja Bizantin meminta beliau menyerah. Keengganan Raaja Bizantin menyerah mengakibatkan kota tersebut dikepung. Pada 19 April 1453, serangan dimulakan. Kota tersebut hujani peluru meriam selama 48 hari. Setengah dinding luarnya rosak tetapi dinding tengahnya masih teguh.

Menara Bergerak

Seterusnya Baginda mengarahkan penggunaan menara bergerak yang lebih tinggi dari dinding kubu Byzantine dan memuatkan ratusan tentera. Tentera Byzantin berjaya memusnahkan menara tersebut setelah ianya menembusi dinding tengah kubu mereka.

Bantuan Dari Pope Vatican

Pope di Rome menghantar bantuan 5 buah armada yang dipenuhi dengan senjata dan tentera. Perairan Teluk Golden Horn direntang dengan rantai besi untuk menghalang kemaraan armada Uthmaniyyah. Ini menaikkan semula semangat tentera Bizantin.

Melancarkan Kapal Perang dari Puncak Gunung

Kegembiraan mereka tidak lama. Keesokan paginya, mereka dikejutkan dengan kehadiran 72 buah kapal perang Uthmaniyyah di perairan Teluk Golden Horn. Ini adalah hasil kebijaksanaan Baginda mengangkut kapal-kapal ke atas gunung dan kemudian diluncurkan semula ke perairan Teluk Golden Horn. Taktik ini diakui sebagai antara taktik peperangan (warfare strategy) yang terbaik di dunia oleh para sejarawan Barat sendiri. Kapal-kapal itu kemudiannya membedil dinding pertahanan belakang kota.

Kapal-kapal perang tentera Bizantin habis terbakar dek bedilan meriam Uthmaniyyah. Pertahanan Bizantin menjadi semakin lemah. Baginda mengambil kesempatan pada malamnya dengan memberikan semangat kepada tenteranya serta mengingatkan mereka kepada hadis Rasulullah SAW dan bersama-sama berdoa kepada Allah SWT.

Memanjat dan Melastik Dinding Kota

Keesokan paginya tentera Uthmaniyah cuba memanjat dinding dalam kubu dengan tangga dan cuba merobohkannya dengan lastik besar. Tentangan sengit pihak Bizantin menyebabkan ramai yang syahid. Baginda memerintahkan tenteranya berundur dan bedilan meriam diteruskan sehingga tengah hari.

Karisma Seorang Pemimpin

Pengepungan selama 53 hari tanpa sebarang tanda-tanda kejayaan  telah menimbulkan rasa bosan dan menghilangkan keyakinan tentera Baginda. Pada saat yang genting ini baginda berucap menaikkan semangat tenteranya, "Wahai tenteraku, aku bersedia untuk mati di jalan Allah. Sesiapa yang mahu syahid ikutlah aku".

Mendengarkan itu, Hasan Ulubate, salah seorang tentera baginda mengetuai sekumpulan kecil 30 tentera membuka dan melompat masuk ke dalam kubu musuh lantas memacak bendera Islam di situ. Mereka kesemuanya gugur syahid setelah dihujani anak panah musuh. Kemudian tentera-tentera Islam menyerbu bertali arus menembusi barisan pertahanan Bizantin sambil melaungkan kalimah Allahu Akbar.

Penawanan Constantinople

Pada 29 Mei 1453, Kota Konstantinopel jatuh ke tangan Islam. Baginda menukar namanya kepada Islambol (Islam keseluruhan) . Gereja Besar St. Sophies ditukar kepada Masjid Aya Sofiya. Baginda dengan tawaduknya melumurkan tanah ke dahinya lalu melakukan sujud syukur. Semenjak peristiwa inilah Baginda diberi gelaran "Al-Fateh" iaitu yang bermaksud "pembuka" atau "penakluk" lantaran kejayaannya membebaskan Konstantinopel.

Sebaik-baik Raja dan Sebaik-baik Tentera

Pada kali pertama solat Jumaat hendak didirikan, timbul pertanyaan siapa yang layak menjadi imam. Baginda memerintahkan kesemua tenteranya termasuk dirinya bangun lantas bertanya, "Siapa di antara kita sejak baligh hingga sekarang pernah meninggalkan solat fardhu walau sekali, sila duduk!" Tiada seorang pun yang duduk, kerana  tidak seorang pun di antara mereka pernah meninggalkan solat fardhu.

Baginda bertanya lagi, "Siapa di antara kita yang sejak baligh hingga kini pernah meninggalkan solat sunat rawatib, sila duduk!" Sebahagian daripada tenteranya duduk.

Kemudian baginda bertanya lagi, "Siapa di antara kamu sejak baligh hingga ke saat ini pernah meninggalkan solat tahajjud walaupun satu malam, sila duduk!" Kali ini semuanya duduk, kecuali Sultan Muhammad Al-Fateh sendiri. Baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, solat sunat rawatib dan solat tahajjud sejak baligh. Baginda sebaik-baik raja yang telah diisyaratkan oleh Rasulullah SAW dalam hadisnya itu.

Dinihari kita cukup ketandusan pemimpin yang berjiwa rakyat serta berkarisma seperti Sultan Muhammad Al-Fateh untuk mengembalikan ketamadunan dan kegemilanagan ISLAM ini kembali. Ayuh, kita mulakan langkah menakluk diri seperti mana Sultan Muhammad Al-Fateh telah berusaha menakluk kota hebat Konstantinopel.