Thursday, 10 March 2011

Tanggungjawab berjemaah

 Nukilan: Khalid Syed Ali
Editor: sufi
Jemaah adalah umpama sebuah keluarga yang mempunyai fungsi untuk memperkuatkan diantara satu sama lain. Sebuah keluarga mempunyai ibu dan bapa untuk mencorakkannya, maka bagi jemaah Islam ibu dan bapanya ialah Al-Quran dan as-Sunnah. Ia adalah panduan lengkap yang mengacu perjalanan sesebuah jemaah termasuklah MIM yang baru memulakan langkah perjalanan ini. Disebabkan itu setiap anggota jemaah mempunyai tanggungjawabnya.

1.
Menghadam ilmu

Ilmu adalah aset yng begemerlapan yang menatijahkan kesudahan yang gemilang buat pencarinya. Kerana itu seringkali Allah dan rasulnya mengiktiraf mereka yang berilmu. Antaranya firman Allah swt dalam surah Az-Zumar: 9,
“ Katakanlah(wahai Muhammad): Apakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?”

Bahkan perlu ditanam di dalam diri setiap Muslim untuk menyintai ilmu lebih-lebih lagi terhadap perkara agamanya. Membuang masa dengan pembaziran, tidur berlebihan dan bermalas-malasan hanya mengundang musibah buat dirinya.

2. Menyampaikan kebenaran


Sifat Nabi saw sebagai seorang pendakwah harus diikuti dan diamalkan oleh sesiapa yng mengungkapkan cinta kepada Baginda saw.
“Demi masa. Sesungguhnya manusia sentiasa berada dalam kerugian, melainkan mereka yang beriman dan beramal soleh serta saling menasihati kepada kebenaran dan kesabaran”. (al-Asr: 1-3)

Setiap manusia mempunyai keupayaan yang berbeza dan setiap jemaah mempunyai pendekatan berbeza, begitulah jua pendekatan MIM dalam menyuburkan program ilmunya harus melihat kepada keadaan setempat dan ragam komunitinya.
Namun harus diingat para penggeraknya bukan seharusnya pula terbabas daripada landasan ataupun statik dalam keadaan sama tanpa memperlihatkan peningkatan dalam pemahamannya kepada agama. Kerana pemahaman yang akan mendorong mengubah strategi menyampaikan dakwah kepada yang lebih serius dan tepat hala tujunya.

3. Menentang Kemungkaran

Mungkar adalah benda yang selalu membinasakan manusia dan menjerumuskan ke dalam jurang api neraka. Dalam menyelamatkan iman dan perasaan sayang terhadap saudara kita maka usaha perlu dilakukan untuk membendung perkara ini. Inilah puncak dalam sebuah perjuangan kerana turunnya para Nabi as adalah untuk mengeluarkan manusia daripada kegelapan(kemungkaran) kepada cahaya yang terang benderang(hidayah). Tidak ada Nabi yang hanya menyuruh perkara yang makruf tanpa memberikan peringatan untk menjauhkan diri dari kemungkaran. Nabi saw menyuruh mentauhidkan Allah swt, menjauhi zina, jangan membunuh anak-anak kecil dan mencuri seperti dalam perjanjian Aqabah sewaktu awal Islam adalah seruan seirama antara suruh yang baik dan cegah yang buruk.
 

4.Bantu-membantu dan berkasih sayang kerana Allah
“Sesungguhnya Allah swt akan berkata di hari kiamat: Di manakah orang-orang yang saling mencintai kerana kebesaranKu? Pada hari ini, Aku akan melindungi mereka di bawah lindunganKu, iaitu hari di mana tiada perlindungan lain kecuali perlindunganKu.” (HR Muslim)

Amat perlu ditekankan dalam memperteguhkan seruan Islam keseluruhan anggota jemaah mempunyai peranan. Di dalam zaman Nabi saw bukan hanya lelaki yang berperanan menyampaikan dakwah, mempertahankan agama dan meningkatkan ekonomi. Aisyah r.anha adalah contoh muslimah yang menyampaikan dakwah melingkari sahabat lelaki mahupun perempuan, Khawla al-Azwar adalah mereka yang berani mengangkat senjata dan merawat pesakit di medan perang jihad dan Siti Khadijah Khuwailid adalah tokoh perniagaan yang terbilang. Maka wanita adalah tulang kepada kekukuhan sesebuah organisasi kerana lazimnya mereka mempunyai rasa kasih sayang dan persaudaraan yang lebih tinggi berbanding lelaki.

5. Menghisab dan memperbaiki diri


Inilah perkara penting yang perlu diberi perhatian. Tiada kesan daripada mujahadah dan usaha keras dalam berdakwah jika dia tidak mampu menghitung kealpaan diri. Apatah lagi berkekalan dalam perlakuan yang merosakkan. Jika di dalam program mampu bangun berqiamullail, berada pada saf pertama dalam solat jemaah, mendengar tazkirah dengan khusyuk namun apabila diluar dia tidak mampu membawa amalan tersebut ataupun sekurang-kurangnya menambah kebaikan pada dirinya daripada program yang disertai. Sifat ini adalah seumpama seorang yang menutup sempurna aurat ketika bersolat tetapi membukanya di luar solat. Dikhuatiri hati akan mati sekiranya berkali-kali mengikuti program tetapi dia tidak terkesan dengan hal tersebut, maka perbetulkanlah niat dan hati.
Sejarah mengungkapkan bagaimana manusia berhati batu dan bersikap bengis mampu menjadi selembut sutera dan seindah alunan air yang mengalir. Dia adalah Umar al-Khattab r.anhu.
Wallahu 'alam.
 

No comments:

Post a Comment