"Assalamu'alaikum. Enti, Syafiqah?" Satu persoalan muncul di skrin telefon bimbit milik Nur Izzatul Syafiqah, seorang mahasiswi Tahun 2 Sains Kimia.
"Eh. Siapa la yang hantar mesej nie?" Bisik hati Syafiqah tatkala menekan item 'Mesej' dan 'Inbox' yang muncul sebuah number yang tidak dikenali.
Lantas tangan Syafiqah terus membalas SMS tadi, "Wa'alaikumussalam. Ana Syafiqah. Boleh ana tahu siapakah yang bertanya ini?"
Lagu 'InsyaAllah' Maher Zain menjadi ringtone SMS telefon Syafiqah berbunyi selepas beberapa minit. Suatu senyuman terukir di wajah Syafiqah yang berwajah manis dan kuning langsat warna kulitnya.
"Ana, Mohd Azzam Aizat, pelajar Tahun 3 Aktuari (Matematik). Ana selalu melihat enti bersama sahabat-sahabat enti di KDK. Boleh ana tahu? Enti dah berpunya?"
"Ana kepunyaan Allah."
"Alhamdulillah, ana pun kepunyaan Allah. Ana suka pada enti. Maksud ana, ana suka melihat enti yang berperwatakan lembut dan sopan. Ana harap enti tidak menolak pelawaan ana untuk menjadi sahabat enti."
Berbunga-bunga hati Syafiqah tatkala dipuji oleh seorang lelaki, walau dia tidak mengenali siapakah sebenarnya yang bernama Mohd Azzam Aizat tersebut.
"Bersahabat atau berkawan je, ana tak kisah."
Kemudian, mesej berbalas mesej dari pagi hingga ke malam, berhentinya hanya sekadar waktu kuliah berlangsung.
Dari hari ke minggu dan dari minggu ke bulan.
Akhirnya masing-masing hanyut dan leka dalam dunia khayalan yang dicipta indah oleh Syaitan.
XXXXXXXXXXXXXXX
Setelah perhubungan 'Islamic Couple' berlangsung dengan jayanya tanpa pengetahuan sesiapa. Syafiqah mendengar nasihat dari sahabatnya kepada seorang sahabat lain yang baru sahaja 'menderita ditinggalkan si dia'.
"Ukhti, ana hanya manusia biasa yang jua tak pernah lari dari salah dan silap. Ana harap nasihat ana ini lebih kepada diri ana, kerana telinga ana yang lebih dekat dengan mulut ana yang bercakap."
"Enti dahulu pernah dijerumuskan oleh syaitan laknatullah ke kancah 'couple' ini. Mengapa enti biarkan diri enti tersadung dua kali pada tempat yang sama?"
"Ana tidak marah atau ingin mengutuk enti, tetapi ana hanya ingin enti muhasabah diri. Tidak ada setiap yang berlaku itu tanpa hadir hikmah disebaliknya. Lantas kita seharusnya mengambil ibrah dari apa yang pernah berlaku, bukan mengulangi yang apa pernah berlaku."
"Ana dah cuba tetapi yang terbaru ini (Aliff) merupakan lelaki soleh yang ana kenal. Ana tak nak kehilangan dia. Ana yakin dia mampu membimbing ana dan kami akan menjaga batas-batas pergaulan kami. Tetapi ana sedar, ana silap. Ana minta maaf." Jelas Khairun.
"Ukhti, jangan minta maaf pada ana, tetapi pada Dia. Ukhti, 'Barang siapa yang diingini oleh Allah akan kebaikan, maka diujinya dengan musibah.'[1]. Dari hadis ini sendiri sudah jelaskan, Allah hanya ingin menguji kita sikit je untuk lihat tahap kesungguhan kita untuk berubah. Maka suatu masa dulu bilamana enti berkata enti tidak mahu lagi terjebak dalam dunia couple nie lagi, Allah telah menguji enti dengan sedikit ujian dengan menghadirkan Aliff yang berperwatakan soleh."
"Ukhti, biarlah sejuta kata atau nasihat yang ana curahkan pada enti termasuklah berapa hadis dan berapa potong ayat al-Quran sekalipun, tiada yang akan mengubah enti kecuali enti sendiri yang membuka pintu hati enti untuk menerima hidayah Allah, jangan sampai hidayah yang diberi itu berpindah mengetuk pintu-pintu hati yang lain."
"Bawa hatimu kenali Islam, bawalah hatimu kenali Pencipta, bawalah hatimu kenali Kekasih Allah dan susurilah cinta itu yakni cinta Allah dan kekasihnya."
"Ukhti, 'Setiap insan pasti melakukan kesilapan dan sebaik-baik manusia yang melakukan kesilapan ialah mereka yang sentiasa bertaubat.'[2]. Betapa luas kasih-Nya ukhti, walau enti mengulangi kesilapan yang sama Dia tetap tidak menghukum enti seperti umat terdahulu, kan? Betapa kita terlalu sombong untuk tahu mensyukurinya dengan melakukan suruhan-Nya dan tinggalkan larangan-Nya."
"Ukhti tahu tak mengapa ada hadis yang mengatakan sesiapa yang mati sedang di dalam hatinya waktu itu menyukai seseorang tetapi ditahan tanpa dilafazkan merupakan mati syahid? Hal seperti seperti enti inilah yang akan terjadi sekiranya kata 'suka' dan 'cinta' dilafazkan. Tiada jaminan seorang ustaz atau imam sekalipun tidak akan kalah dengan nafsunya pada seorang wanita sekiranya nafsu mengawal akalnya. 'Kemudian menggantilah selepas mereka pengganti-pengganti yang mensia-siakan solat, dan mengikuti hawa nafsu (syahwat), maka mereka akan menemui kesalahan.'[3]"
"Ukhti, pintu rahmat Allah lebih luas dari pintu kebenciaan. Maka berubahlah enti sebelum terlambat. Ana akan sentiasa ada untuk enti. Ketahuilah ukhti, ana sayang enti kerana Allah selama-lamanya. InsyaAllah."
XXXXXXXXXXXXXXX
"Assalamu'alaikum, ingatkah enta pada kisah Yusuf a.s. dengan Zulaika? Yusuf menjadi raja Mesir sebab kesabarannya. Dan Zulaikha menjadi hina, fakir dan lemah kerana syahwatnya. Maka, ana tidak ingin menjadi hina kerana mengikut syahwat dan ana ingin juga enta menjadi seperti Yusuf dalam menahan sabar. Ana harap enta faham, andai telah tertulis bahawa ana bersama enta, biarlah ana menjadi bidadari di syurga menanti enta di sana. Bukan di dunia yang hidup umpama syurga namun akhirat kelak kita menjerit dari dalam neraka. Mungkin cukup ini sebagai mesej terakhir dari ana kepada enta. Dan ana tidak mengharap enta membalasnya."
Mesej 'Delivered to Mohd Azzam Aizat'.
Sebahagian ulama mengatakan, "Barangsiapa telah dikuasai oleh nafsunya maka dia akan menjadi hamba syahwatnya. Ia merengkuk dalam penjara kegilaannya. Dan hatinya semakin lalai. Barangsiapa menyirami bumi tubuh ini syahwat, bererti dia telah menanam 'pohon' penyesalan dalam hatinya."
Sesungguhnya Allah menciptakan makhluk ada tiga bahagian. Dia menjadikan Malaikat hanya diberikan akal, tanpa diberi syahwat. Lalu Dia menjadikan haiwan yang dibekali syahwat tanpa diberi akal dan Allah menjadikan manusia dengan diberi akal dan syahwat. Jika seseorang telah mengalahkan akalnya, maka haiwan lebih baik daripada dia. Namun barangsiapa menggunakan akal dan menundukkan syahwatnya, tentulah dia lebih baik daripada Malaikat.
[secalit dari Mukasyafah Al-Qulub (Oleh Imam Al-Ghazali)]
XXXXXXXXXXXXXX
[1] Hadis shahih riwayat al-Bukhari, Malik dan Ahmad.
[2] Hadis riwayat at-Tirmizi dan Ibn Majah.
[3] Surah Maryam, surah ke 19, ayat ke 59.